Siaran Akhbar : Jabatan Perdana Menteri / Foto : Mohamad Azmi Haji Awang Damit, Muhammad Asri Haji Awang Damit, Mohammad Hasif Matzin
BANDAR SERI BEGAWAN, Rabu, 21 Januari. - Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, hari ini berangkat meninggalkan Jerudong Park Medical Centre (JPMC) setelah selamat menjalani prosedur pembedahan penggantian sendi lutut kanan (Right Total Knee Replacement) pada Ahad, 28 Rejab 1447 Hijrah bersamaan 18 Januari 2026 Masihi.
Berangkat bagi mengiringi keberangkatan balik Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ialah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha binti Al-Marhum Pengiran Pemancha Pengiran Anak Haji Mohamed Alam dan ahli-ahli kerabat diraja.
Sebelum berangkat meninggalkan tempat persemayaman di JPMC, Doa Selamat dibacakan oleh Mufti Kerajaan, Yang Berhormat Pehin Datu Seri Maharaja Dato Paduka Seri Setia (Dr.) Ustaz Awang Haji Abdul Aziz bin Juned.
Juga hadir bagi menyembahkan selamat berangkat Kehadapan Majlis Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Raja Isteri ialah Menteri-menteri Kabinet dan Timbalan-timbalan Menteri.
Kebawah DYMM menzahirkan rasa bersyukur dan ucapan terima kasih kepada rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam, di dalam dan di luar negara, termasuk para pelajar serta pelbagai warga negara asing yang merafakkan doa ke hadrat Allah Subhanahu Wata'ala bagi kesembuhan yang segera, kesihatan yang sempurna, dan keafiatan yang berpanjangan Kehadapan Majlis baginda.
Baginda juga menzahirkan penghargaan yang mendalam dan merakamkan ucapan terima kasih kepada ketua-ketua negara dan kerajaan serta para dif-dif kerabat diraja atas segala doa dan ingatan baik yang diberikan sepanjang baginda menjalani rawatan.
Dalam masa yang sama, Kebawah DYMM tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada para pakar perubatan dan pasukan perubatan JPMC serta pegawai dan kakitangannya yang terlibat, atas layanan yang amat baik sepanjang persemayaman baginda di sana.

